Arsenal & 3 Kelab Handalan Ke Separuh Akhir Carabao Cup
MakanBola
Arsenal

Arsenal melengkapkan senarai empat pasukan yang mara ke separuh akhir Carabao Cup.

The Gunners mara selepas menyingkirkan Crystal Palace menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir di Stadium Emirates.

Perlawanan ini sepatutnya diadakan pada minggu sebelumnya. Walau bagaimanapun, ia terpaksa ditunda susulan komitmen Crystal Palace terhadap saingan Liga Konferens UEFA (UECL).

Meskipun ini merupakan aksi piala, kedua-dua pasukan memberi peluang kepada pemain simpanan beraksi.

Arsenal memilih Kepa Arrizabalaga sebagai penjaga gol menggantikan David Raya. Palace merehatkan Dean Henderson dan menurunkan Walter Benitez sebagai pengganti.

Sebaik wisel bermula, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol untuk memecah kebuntuan perlawanan. Gol tuan rumah hadir pada minit ke-80 menerusi gol sendiri Maxence Lacroix.

Pemain pertahanan Perancis itu bernasib malang apabila tertolak bola Riccardo Calafiori melepasi Benitez. Palace memastikan perlawanan diheret ke penentuan penalti menerusi gol saat akhir kapten, Marc Guehi.

Penentuan penalti menyaksikan tujuh pemain kedua-dua pasukan berjaya menyempurnakan penalti. Lacroix sekali lagi bernasib malang apabila penaltinya berjaya dinafikan Arrizabalaga.

Keputusan itu menyaksikan Arsenal bakal bertemu musuh tradisi, Chelsea di peringkat separuh akhir. Chelsea mara pada minggu sebelumnya dengan menyingkirkan Cardiff City.

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Manchester City dan Newcastle United. City dan United mara selepas masing-masing menyingkirkan Brentford dan Fulham.

Sofascore memilih Benitez sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.8. Penjaga gol Argentina mengatasi rakan sepasukan, Jefferson Lerma dengan kelebihan 0.7 mata.

Selepas ini, Arsenal akan menentang Brighton pada 27 Disember. Palace pula akan menentang musuh setempat, Tottenham Hotspur pada 29 Disember.