Ratchaburi Destinasi Pilihan Kevin Deeromram
MakanBola
Ratchaburi FC

Bekas pemain pertahanan Selangor FC, Kevin Deeromram memilih kembali ke kelab pertamanya di Thailand, Ratchaburi.

Perpindahan bek kiri berusia 28 tahun itu diumumkan pengurusan The Dragons menerusi satu hantaran video di platform rasmi mereka.

Menariknya, pengumuman perpindahan itu dinyatakan sendiri oleh Kevin. “Bunyi tempat ini tidak pernah pudar. Di mana sahaja saya pergi, ia membawa saya kembali ke sini.

“Budak lelaki yang pergi pada hari itu kini kembali menjadi lelaki. Sekarang saya pulang ke rumah dan kita mempunyai misi yang perlu dicapai.” katanya dalam video tersebut.

Bekas bek kiri Port itu bukan asing dengan Ratchaburi. Ini kerana The Dragons ialah kelab pertamanya di Thailand selepas meninggalkan kelab Sweden, Djurgadens.

Kevin beraksi sebanyak 31 kali untuk kelab itu pada musim 2017-2018. Musim itu juga menyaksikan beliau merekodkan satu gol dan lapan bantuan gol sebelum berhijrah ke Port.

Kevin menjadi pemain pertama yang direkrut legenda Thailand, Worrawoot Srimaka untuk tetingkap perpindahan Januari.

Pengumuman ini juga menjawab teka-teki peminat tentang destinasi beliau yang seterusnya selepas meninggalkan Selangor baru-baru ini.