Setiap jurulatih baharu Akademi Mokhtar Dahari (AMD) perlu memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).
Hal ini dinyatakan Pengarah Teknikal baharu NFDP, Datuk Ong Kim Swee apabila diminta mengulas tentang jurulatih baharu yang akan dibawa ke AMD.
Kim Swee yang juga bekas jurulatih Persik Kediri melihat ini sebagai cara memotivasikan jurulatih memburu keputusan bagus buat para pemain mereka.
“Sesiapa yang dilantik sekalipun, mereka harus mempunyai KPI yang kita tetapkan dan cuba mendapatkan satu keputusan yang baik.
“Bagi saya, tidak ada istilah yang mereka gagal kerana mereka ini merupakan jurulatih-jurulatih yang baru,” katanya kepada Nadi Arena.
Antara jurulatih baharu yang dilaporkan bakal menyertai AMD ialah Shukor Adan dan Rusdi Suparman.
Walau bagaimanapun, Kim Swee enggan mengulas tentang khabar angin siapa barisan jurulatih baharu tersebut.
Ini kerana beliau menyerahkan kepada pengurusan FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat pengumuman rasmi tentang perkara itu.