Mesej terbaru pemain sayap Negeri Sembilan FC, Jovan Motika mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Ini selepas pemain sayap berusia 27 tahun itu memuat naik kenyataan yang berbunyi, “Last dance (kali terakhir.)”

Mesej itu disertakan bersama imej lokar Motika dalam bilik persalinan Negeri Sembilan. Mesej itu bukan saja dikongsikan di Instagram Story beliau.
Malah, laman peminat bola sepak Negeri Sembilan, State of Nine turut berkongsi gambar sama di platform mereka.
Ramai penyokong tertanya-tanya apa yang cuba disampaikan Motika menerusi hantaran berkenaan.
Sejak menyertai Negeri Sembilan pada awal musim ini, bekas pemain sayap KL City FC itu pantas menjadi pilihan utama jurulatih, Nidzam Jamil.
Motika merekodkan lapan gol dan satu bantuan gol dalam 15 penampilan bersama Sang Rusa musim ini.