Pengurusan Terengganu FC mengambil langkah merehatkan ketua jurulatih pasukan itu, Badrul Afzan Razali.
Keputusan itu diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka. Langkah tersebut diambil susulan prestasi tidak menentu pasukan itu sejak kebelakangan ini.
“Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) ingin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah TFCSB telah memutuskan untuk merehatkan Ketua Jurulatih, Badrul Afzan bin Razali, berkuat kuasa serta-merta.
“Dengan ini, TFCSB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badrul Afzan bin Razali atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang bersama pasukan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Meskipun masih berada dalam kelompok lima pasukan teratas, prestasi Peteh di atas padang sejak Oktober lalu membuatkan ramai penyokong bimbang.
Ini termasuk kekalahan besar di tangan Kuching City FC dalam Piala FA dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam liga.
Susulan itu, pengurusan Peteh melantik penolong jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan sebagai ketua jurulatih interim sehingga ketua jurulatih baharu dilantik.
Selain jurulatih baharu, Terengganu juga dijangka sibuk mencari calon pemain import baharu di bahagian tengah dan serangan.
Langkah itu diambil bukan saja untuk menyelesaikan isu penyudah tumpul pasukan itu. Malah, Terengganu juga ingin mencari pengganti pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.