Nasihat Ong Kim Swee Buat Jurulatih Baru
MakanBola
Sabah FC

Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee berharap para jurulatih baharu sentiasa berusaha meningkatkan tahap mereka ke tahap yang lebih baik.

Nasihat itu dinyatakan beliau selepas mengesahkan akan ada rombakan membabitkan barisan kejurulatihan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Kim Swee mengakui rombakan ini bukan sesuatu yang mudah terutama bagi jurulatih yang baru berkecimpung dalam dunia bola sepak.

Pada masa sama, bekas pengendali Sabah FC itu melihat ini sebagai batu asas buat mereka yang dilepaskan untuk bangkit semula dan menjadi jurulatih yang lebih bagus.

“Pasti mereka harus memikirkan cara yang terbaik. Ini pekerjaan jurulatih sebagai pekerjaan profesional,” katanya kepada Nadi Arena.

“Jurulatih tak boleh memikirkan untuk berada di satu tahap yang selesa. Kalau siapa yang jadi jurulatih untuk mendapatkan kedudukan yang selesa, bermakna mereka tidak mempunyai inisiatif sendiri untuk membangunkan diri mereka sebagai jurulatih.

“Jadi sebagai profesional, awak harus terima dan awak harus bangkit, awak harus mulakan sesuatu dengan lebih baik.”

Beberapa nama dilaporkan bakal menyertai barisan kejurulatihan NFDP. Antara nama yang dikaitkan dengan khabar angin tersebut ialah Shukor Adan dan Rusdi Suparman.

Tidak kira siapa jurulatih baharu AMD yang dilantik, Kim Swee telah memaklumkan mereka yang dilantik perlu memenuhi KPI yang ditetapkan NFDP.