Razman Roslan Kongsi Dua Kelebihan Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan menyifatkan Kuching City memiliki kelebihan untuk mengungguli tempat kedua Liga Super musim ini.

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang pasukan mana yang patut dilabel pasukan pilihan untuk menduduki tempat kedua liga.

The Cats menjadi pilihan Razman kerana pada hematnya, anak buah Aidil Sharin Sahak itu bukan saja lebih konsisten dari segi prestasi semasa.

Malah, mereka juga memiliki rekod pertahanan yang baik termasuk dari segi jumlah gol yang membolosi gawang pasukan itu.

“Saya menjangkakan masih lagi Kuching City kerana dua faktor. Pertama, Kuching City lebih konsisten (dari segi prestasi) ketika beraksi.

“Dan yang kedua, mereka mempunyai pertahanan yang kental dan yang susah dibolosi.

“Dan sudah pasti, apabila mempunyai pemain pertahanan yang susah untuk dibolosi, mereka akan mendapat atau mencatatkan kemenangan,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Kuching City memiliki rekod pertahanan kedua terbaik dalam liga dengan enam gol di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah Wanja terus menjadi mesin gol berbisa buat Aidil.

Ngah kini meledakkan sembilan gol dalam liga setakat ini. Beliau hanya memerlukan tiga gol jika ingin mengejar dua peledak JDT, Bergson da Silva dan Jairo da Silva.