‘Saham’ Luqman Hakim Naik Lebih Dua Kali Ganda
MakanBola
Nursaifulsyah/MakanBola

Penyerang Negeri Sembilan dan Harimau Malaya, Luqman Hakim mencatat kenaikan nilai pasaran lebih dua kali ganda.

Nama Luqman Hakim menjadi bualan ramai musim ini apabila penyerang berusia 23 tahun ini mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia selepas berkelana ke Eropah dan Jepun.

Negeri Sembilan menjadi destinasi pilihan Luqman Hakim untuk kembali mencari sentuhan berbisa sebagai seorang penyerang yang cukup disegani seperti beberapa tahun lalu.

Persembahan bekas tonggak KV Kortrijk ini dilihat semakin meningkat saban hari terutamanya apabila Luqman berjaya mencetak dua gol ketika menumpaskan Kelantan TRW 2-0 sebelum ini.

Secara keseluruhan, Luqman telah cemerlang menjaringkan 3 gol dalam 10 penampilan buat Negeri Sembilan setakat ini sekaligus menyaksikan lonjakan besar dari segi nilai pasaran.

Semakan di laman Transfermarkt menyaksikan nilai pasaran Luqman Hakim kini meningkat lebih dua kali ganda daripada €50,000 (bersamaan RM238,000) kepada €125,000 sekitar RM595,000.

Lonjakan sebanyak 2.5 kali ganda ini menyaksikan Luqman semakin hampir menyamai nilai pasaran tertinggi kariernya iaitu €150,000 ketika bersama KV Kortrijk pada musim 2020–2021.

Tugas seterusnya yang bakal menanti Luqman Hakim serta Negeri Sembilan adalah melayani kunjungan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Paroi pada 10 Januari ini.