Tambahan Hebat Buat Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Harimau Malaya mendapat semangat yang menjadi tonik buat pasukan menjelang 2026.

Skuad kendalian Peter Cklamovski mengharungi kempen cemerlang pada tahun 2025 namun terpaksa akur dengan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang membatalkan tiga kemenangan Malaysia.

Saingan Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 juga menyaksikan pasukan kebangsaan cemerlang di tangga teratas hasil lima kemenangan – mengumpul 15 mata secara keseluruhan.

Khabar baik menanti Harimau Malaya selepas tonggak berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo yang memberi bayangan bakal menerima pasport Malaysia.

Perkara ini dinyatakannya selepas Harimau Selatan muncul juara Piala FA 2025-26 menewaskan Sabah pada 14 Disember yang lalu.

“Saya tunggu menjelang tahun depan, saya akan menjadi pemain tempatan dengan pasport kerana ini tahun kelima saya berada di Malaysia,” katanya selepas perlawanan.

Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, ia bakal menambah pilihan pemain buat jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski terutamanya pada bahagian sayap.

Ketika ini, posisi sayap pasukan kebangsaan diisi oleh pemain seperti Arif Aiman, Safawi Rasid, Faisal Halim dan Ramadhan Saifullah.

Harimau Malaya masih berbaki satu perlawanan menentang Vietnam bagi aksi terakhir kumpulan, 31 Mac 2026 di tempat lawan.