Malaysia Raih Tempat Ke-3 ASEAN Futsal Cup B-19, Atasi Vietnam
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia menamatkan kempen ASEAN Futsal Cup B-19 2025 di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti.

Selepas tewas kepada Thailand menerusi penentuan sepakan penalti, Malaysia berharap dapat bangkit dan memburu tempat ketiga.

Vietnam juga turun dengan misi sama. Pasukan itu ingin menebus maruah selepas dibelasah Indonesia dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Hasrat anak buah Rakhpol Sainetngam membuat permulaan positif lebur apabila gawang mereka dibolosi pada minit kelima.

Pemain Vietnam, Nguyen Truong Hoang Long memastikan pasukan itu berada di hadapan menerusi golnya itu.

Tersentak, skuad muda negara berusaha mencari gol penyamaan tetapi tidak berhasil. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Malaysia terus meningkatkan tekanan ke arah gawang Vietnam yang dikawal Truong Van Khanh.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tetapi tidak berhasil. Situasi ini mendorong Rakhpol menggunakan taktik power play dengan baki tiga minit.

Gol penyamaan yang dicari akhirnya hadir seminit sebelum perlawanan tamat. Iqbal Hazim Radzi menceriakan kem negara menerusi gol pada minit ke-39.

Kedua-dua pasukan menyumbat gol pada minit ke-40. Selepas Vietnam mendahului menerusi Nguyen Thac Hieu, Aidil Zakwan Zaidi mengikat kedudukan 2-2.

Pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. Aidil Fazrez Zul Hatta muncul wira dengan memastikan Malaysia menang dengan keputusan 4-3.

Kini, tumpuan beralih kepada Indonesia dan tuan rumah, Thailand untuk perebutan gelaran juara kejohanan.