Personaliti media sosial, Aqil Farhan mengharumkan nama Malaysia dengan mencetak sebuah gol cantik bagi meraih gelaran juara sebuah kejohanan di Indonesia.
Pada awal Disember lalu, Aqil Farhan mengambil keputusan untuk berkelana ke Bandung, Indonesia dan menyertai Blue Wizard yang bermain dalam saingan liga amatur, Hesebah League.
Permulaan positif buat karier Aqil Farhan di Indonesia apabila cemerlang membantu Blue Wizard bergelar selaku naib juara Hesebah League Regular Season selepas 7 perlawanan yang ditempuh.
4 pasukan teratas Regular Season, termasuklah Blue Wizard yang diwakili Aqil Farhan pula beraksi di peringkat Final Four bagi merebut kejuaraan Hesebah Cup dengan bertemu Lord Devils United.
Pada aksi separuh akhir berdepan Lord Devils United ini, Aqil Farhan muncul wira pasukan apabila mencetak salah satu gol untuk membantu Blue Wizard menang 2-1 dan mara ke final.
Gol yang terhasil pada minit ke-21 itu berlaku menerusi satu voli kaki kanan oleh Aqil Farhan yang terus menggegar pintu gawang lawan sebelum menewaskan penjaga gol Lord Devils United.
Kemenangan itu membawa Blue Wizard ke perlawanan akhir bertemu Barngeh Jugadoor sebelum kelab yang dibarisi Aqil Farhan itu menoktahkan kejayaan dengan mengatasi lawan 4-1 di final.
Bertambah manis lagi apabila nama Aqil Farhan turut berada dalam senarai kesebelasan utama terbaik untuk peringkat final four ini bersama 5 lagi rakan sepasukannya di kelab Blue Wizard.