Azmin Azram Puji Dua Kualiti Luqman Hakim
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz mendedahkan dua kualiti yang menyerlahkan Luqman Hakim Shamsudin sebagai penyerang.

Dua kualiti yang dimaksudkan ialah kesungguhannya berjuang mendapatkan bola dan sentiasa berada di kedudukan yang tepat.

Azmin percaya dua kualiti itu membantu Luqman meledakkan dua gol dalam aksi Negeri Sembilan FC menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) baru-baru ini.

“Luqman ini ada satu perangai yang mana dia memang penyerang, dia bukan penyerang yang menyerah.
Itu sebabnya kalau kita lihat dalam permainan ini, dia penyerang yang begitu sedar dengan situasi.

“Dia berada dalam saat yang sesuai untuk menerima gol bagi pasukan Negeri Sembilan. Kalau kita lihat dengan gol pertama ini, yang dia menerima adalah satu tampanan yang kurang kemas.

“Tapi posisi dia itu, kebetulan dia ada tepat pada posisi di mana bola itu jatuh. Dan dengan kemahiran
yang dia ada, kawalan bola yang dia ada dan dia meledakkan gol sebagai penyerang,” katanya semasa menjadi panel XI Sebelas Utama.

Beliau juga percaya minit permainan yang banyak diraih bekas penyerang FC Kortrijk itu ketika beraksi di bahagian sayap turut membantu keyakinan Luqman.

“Bila dia bermain di bahagian sayap, penglibatan dia dan juga minit permainan dia lebih banyak. Ini yang membuatkan dia lebih yakin untuk bermain,” ujarnya.

Luqman merekodkan tiga gol dalam 12 penampilan bersama Sang Rusa dalam semua kejohanan setakat ini.