Kim Pan-gon Ke Selangor?
MakanBola
Aima / MakanBola

Khabar angin sekali lagi bertiup kencang mengaitkan bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, dengan Selangor FC.

Nama Kim Pan-gon bukan asing dalam kalangan peminat tempatan selepas pengendali kelahiran Korea Selatan itu pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2022 hingga 2024.

Jurulatih berusia 56 tahun tersebut bagaimanapun membuat keputusan meninggalkan Harimau Malaya sebelum menyertai Ulsan HD, namun berpisah dengan kelab Korea Selatan itu dan mula bergelar ejen bebas pada Ogos lalu.

Menurut sumber kepada MakanBola, Kim Pan-gon dikatakan bakal membimbing Selangor FC dengan pengumuman rasmi dijangka dilakukan dalam masa terdekat selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Sumber itu turut mendedahkan bahawa Selangor sebenarnya sudah lama memantau khidmat Kim Pan-gon dan mendakwa terdapat beberapa pemain tempatan dalam pasukan Gergasi Merah yang melobi supaya beliau kembali ke Malaysia.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Kim Pan-gon dikaitkan ke Selangor selepas nama bekas jurulatih Ulsan HD itu turut dilaporkan hampir menyertai kelab Lembah Klang berkenaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang pengesahan rasmi berhubung spekulasi ini daripada mana-mana pihak termasuklah Kim Pan-gon mahupun pengurusan Selangor FC.