Lee Zii Jia & Yeoh Kay Bin Bakal Berpisah
UltraSukan
MSN Malaysia

Malaysia Open 2026 bakal menjadi kejohanan terakhir yang dihadapi Lee Zii Jia dan jurulatih, Yeoh Kay Bin.

Ini selepas pasukan pengurusan Zii Jia memaklumkan Kay Bin memilih tidak melanjutkan kontrak bersama jaguh perseorangan lelaki negara itu.

Jurulatih berusia 45 tahun itu mengambil keputusan berkenaan kerana mahu meneroka peluang baharu pada 2026.

Zii Jia menghormati keputusan Kay Bin dan mengucapkan selamat berjaya buat beliau. “”Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada Coach Kay Bin yang bersama saya sepanjang tahun lalu.

“Saya telah belajar perkara baharu daripadanya dan saya sendiri kecewa dengan peluang yang terhad untuk mempamerkan apa yang telah kami lakukan dalam latihan.

“Itulah sebabnya saya memahami hasrat Coach Kay Bin untuk mencari sesuatu yang lain untuk dirinya dan saya mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun sudah tamat kontrak, Kay Bin bersetuju untuk bersama Zii Jia menghadapi saingan Malaysia Open.

Pengurusan Zii Jia turut mengumumkan Liew Daren kembali sebagai jurulatih dan akan bersama beliau selepas tamat saingan tersebut.

Zii Jia akan membuka kempen Malaysia Open dengan menentang wakil India, Ayush Shetty di pusingan pertama.