Guilherme Bissoli Ke Liga Malaysia? Ini Komen ‘Orang Kuat’ Buriram United
MakanBola
Buriram United

Spekulasi mendakwa Guilherme Bissoli bakal berkelana ke Liga Malaysia mendapat perhatian daripada Naib Presiden Buriram United.

Baru-baru ini, timbul khabar angin dalam kalangan peminat mengatakan penyerang berbisa Buriram United, Guilherme Bissoli berkemungkinan besar untuk mewarnai kancah Liga Malaysia.

Dakwaan ini timbul selepas Bissoli memuat naik beberapa keping foto bersama keluarga bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur minggu lalu sekaligus meraih perhatian peminat.

Perkara ini malah mendapat perhatian Naib Presiden Buriram United, Karuna Chidchob yang tampil dengan sebuah komen sebagai respon kepada ura-ura terbabit yang disifatkan tidak masuk akal.

”Mengarut,” jawab Karuna Chidchob merujuk kepada khabar angin berkenaan seperti yang dilaporkan oleh SNE Sports.

Nama Guilherme Bissoli sememangnya cukup dikenali para peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara apabila pemain berusia 27 tahun ini dilihat begitu tajam di hadapan pintu gol lawan.

Statistik membuktikan Bissoli sudah pun mencetak 80 gol dan melakukan 15 bantuan jaringan dalam 104 penampilan buat Buriram United sejak tiba pada Januari 2024 yang lalu.