Bintang Piala Dunia Brazil Bakal Sarung Jersi Selangor?
UltraSukan
CBF Futsal

Seorang pemenang Piala Dunia dari Brazil dikhabarkan bakal memperkuatkan kempen Selangor FC untuk saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2026.

Bintang yang dimaksudkan ialah Marlon Araujo. Nama pemain berusia 38 tahun ini mula menarik perhatian peminat futsal Malaysia.

Ini kerana Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) menyenaraikan Selangor sebagai kelab beliau apabila mengumumkan senarai pemain untuk Copa America 2026.

Hal ini membuatkan ramai peminat terkejut kerana Selangor belum mengumumkan tonggak import baharu untuk kempen 2026.

Selain itu, akaun Instagram rasmi Selangor turut dilihat sudah mengikuti bekas pemain Inter Futbol Sala itu.

Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, ini dilihat mencerminkan keazaman Selangor untuk meraih gelaran juara MPFL musim 2026.

Pasukan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengungguli gelaran juara dua musim berturut-turut iaitu musim 2024 dan 2025.