Musim 2025‑2026, Piala Malaysia dijangka kembali dengan kehangatan dan persaingan sengit apabila 16 pasukan terpilih dari Liga Super Malaysia dan Liga A1 Semi‑Pro.
Saingan kali ini tampil penuh bermakna apabila tiga pasukan Liga A1 Semi-Pro berentap dengan 13 kelab Liga Super.
Pada saingan edisi lepas, tiga pasukan daripada liga berkenaan turut menyertai pertandingan, sekali gus menambah kehangatan saingan Piala Malaysia yang penuh berprestij.
Kedah FA pada awalnya memperoleh slot terakhir saingan Piala Malaysia musim ini, namun pasukan itu mengambil keputusan untuk menarik diri atas sebab-sebab yang tidak didedahkan.
Selain itu, Armed Forces turut terlepas peluang beraksi dalam kejohanan berprestij tersebut meskipun menamatkan saingan Liga A1 pusingan pertama musim ini sebagai pasukan keenam terbaik.
Situasi itu membuka ruang kepada Kelantan Red Warrior untuk menggantikan kedua-dua kelab berkenaan selepas mereka menamatkan saingan pusingan pertama Liga A1 di kedudukan ketujuh.
Kelantan Red Warrior telah mengikut langkah pasukan Perak FA dan UM-Damansara United yang mengesahkan kemaraan terlebih awal.
Sementara itu, Selangor II dan Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang turut berada dalam kelompok tiga terbaik disahkan tidak menyertai Piala Malaysia berikutan status masing-masing sebagai kelab ‘feeder’.
Kelab yang menamatkan pusingan pertama Liga Super dalam kelompok lapan terbaik akan mendapat laluan automatik ke pusingan 16 sebagai pasukan pilihan (seeded).
Pasukan terlibat ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City, Selangor, Kuala Lumpur City, Terengganu, Negeri Sembilan, DPMM dan Sabah.
Sementara itu, lima pasukan Liga Super yang berada di tangga kesembilan hingga ke-13 iaitu Imigresen, Kelantan The Real Warriors, Penang, Melaka dan PDRM akan dicampurkan dalam undian bersama tiga kelab daripada Liga A1 Semi-Pro.
Undian ini bertujuan menentukan lawan masing-masing menentang pasukan pilihan dan akan dilaksanakan secara terbuka.
Undian rasmi bagi aksi pusingan 16 Piala Malaysia musim ini dijadualkan berlangsung pada 2 Januari 2026.
Saingan Piala Malaysia musim ini bakal dimulakan pada bulan Januari depan dengan perlawanan akhir sekitar bulan Mei 2026.
Senarai 16 Kelab Piala Malaysia Musim 2025-2026.
- Johor Darul Ta’zim (JDT)
- Kuching City
- Selangor
- KL City
- Terengganu
- Negeri Sembilan
- Brunei DPMM
- Sabah
- Imigresen
- Kelantan The Real Warriors
- Penang
- Melaka
- PDRM
- Perak FA
- UM-Damansara United
- Kelantan Red Warrior