Achraf Hakimi Menangis Tinggalkan Padang Gara-Gara Luis Diaz
MakanBola
Paris Saint-Germain

Paris Saint-Germain (PSG) menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat kapten dan pemain pertahanan Maghribi, Achraf Hakimi.

Hakimi terpaksa berehat panjang susulan kecederaan serius yang dialami ketika aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) antara PSG dan Bayern Munich.

Kecederaan itu dialami akibat terjahan merbahaya yang dibuat bekas pemain sayap Liverpool, Luis Diaz ke atas beliau pada minit akhir babak pertama.

Pada awalnya, pengadil Itali, Maurizio Mariani hanya melayangkan kad kuning kepada Diaz atas terjahan tersebut.

Walau bagaimanapun, VAR menasihati Mariani untuk menyemak semula terjahan pemain Colombia itu di monitor. Selepas melihat ulang tayang insiden itu, pengadil Itali itu tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Diaz.

Hakimi kemudiannya dipapah keluar dari padang dengan bantuan staf perubatan PSG. Situasi itu menyebabkan jurulatih PSG, Luis Enrique terpaksa memasukkan Senny Mayulu sebagai pengganti.

Berita kecederaan tersebut turut dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Pemain Maghribi itu bukan satu-satunya pemain PSG yang cedera dalam aksi itu. Sebelumnya, Ousmane Dembele juga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-24 akibat kecederaan.

Enrique kemudiannya memasukkan bintang Korea Selatan, Lee Kang-in sebagai pengganti pemenang Ballon d’Or itu.

Bayern yang beraksi dengan 10 pemain untuk baki perlawanan meraih kemenangan 2-1. Ironinya, Diaz turut mencipta dua gol buat pelawat pada babak pertama.