Selangor FC mengalami kekalahan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) apabila tewas kepada Lion City Sailors (LCS).
Selangor mahu bangkit selepas tewas 4-2 di tangan Bangkok United. LCS pula memburu kemenangan pertama selepas diikat 1-1 oleh Persib Bandung.
Bekas penyerang Yokohama F. Marinos, Anderson Lopes mengetuai jentera serangan The Sailors. Kelibat Faisal Halim ditagih sebagai ketua pasukan The Red Giants.
Lopes terus membuktikan dirinya berbisa apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh. Gawang Selangor yang dikawal Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi bocor lagi enam minit selepas itu menerusi Lopes.
Perlawanan kemudiannya dihentikan selama satu jam 35 minit akibat ribut petir yang berlaku sekitar Stadium Bishan. Perlawanan kemudiannya disambung semula pada jam 8.05 malam.
Selangor mendapat talian hayat apabila Ivan Susak dikesan menjatuhkan Chrigor Moraes dalam kotak penalti. Beliau tenang menewaskan Susak pada minit ke-37.
Lopes memastikan LCS mendahului 3-1 sehingga rehat separuh masa menerusi hatrik pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, LCS terus memberi tekanan kepada Selangor untuk memburu gol tambahan.
Lopes sekali lagi mengecewakan Kalamullah dengan meledakkan gol keempat buat tuan rumah pada minit ke-54.
Situasi ini mendorong pengendali interim Selangor, Christophe Gamel membuat empat pertukaran pemain. Ini termasuk memasukkan Alvin Fortes dan Omid Musawi sebagai pemain gantian.
Kemasukan empat pemain ini memberi impak segera kepada The Red Giants. Faisal mengurangkan defisit gol buat Selangor pada minit ke-73.
The Red Giants terus berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor di tangga keempat Kumpulan G tanpa sebarang mata.
The Sailors pula berkongsi kedudukan pertama kumpulan dengan Persib menerusi empat mata. Lopes dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 10.
Selepas ini, Selangor akan menentang Imigresen FC pada 5 Oktober. LCS pula akan menentang Young Lions pada 18 Oktober.