ACL2: Bek Tengah Muda Perancis Mantapkan Benteng Selangor
MakanBola
Selangor FC

Khidmat bek tengah muda Perancis, Seif-Dine Hraoubia dijangka ditagih Selangor FC bagi menghadapi kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Ini berdasarkan semakan senarai awal pemain yang dibawa Merah Kuning bagi menghadapi kempen kejohanan musim 2025/26 di laman sesawang AFC.

Hraoubia yang beraksi untuk pasukan Selangor II memiliki ketinggian 1.93 meter. Kehadiran bekas pemain USM Montargis itu dilihat menambah kelebihan fizikal Merah Kuning di bahagian pertahanan.

Ini kerana selain Hraoubia, Selangor turut memiliki khidmat bek tengah Ghana, Richmond Ankrah yang memiliki ketinggian 1.90 meter.

Selain duo tersebut, Selangor turut menyenaraikan Omid Musawi, Picha Autra, Kevin Deeromram, Chrigor Moraes, Willian Lira, Noor Al-Rawabdeh, Mohammad Abualnadi, Alvin Fortes dan Zach Clough.

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi turut memanggil ramai pemain muda dalam skuad ACL2. Antara yang tersenarai ialah Muhammad Abu Khalil, Haykal Danish Mohd Haizon dan Moses Raj.

Selangor akan membuka kempen Kumpulan G dengan menentang Bangkok United pada 18 September. Selain mereka, Persib Bandung dan naib juara musim lalu, Lion City Sailors (LCS) turut berada dalam kumpulan sama.