ACL2: Dua Penalti Bantu Bangkok United Atasi 10 Pemain Lion City Sailors
MakanBola
Lion City Sailors FC

Bangkok United ceria meraih tiga mata di Bangkok apabila menewaskan Lion City Sailors (LCS) dalam aksi ketiga Kumpulan G ACL2.

Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan jika mahu memburu kedudukan pendahulu Kumpulan G. The Sailors berharap dapat melebarkan kemenangan selepas menewaskan Selangor FC 4-2.

Bekas kapten Selangor, Safuwan Baharudin menerajui benteng LCS. Bekas penyerang kelab Singapura itu, Richairo Zivkovic beraksi di bahagian sayap Bangkok United.

LCS bernasib malang apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti kepada tuan rumah pada minit ke-10.

Ini selepas pengadil Australia, Casey Reibelt mengesan bola terkena tangan Safuwan dalam kotak penalti. Meskipun cuba dibantah pemain-pemain LCS, Reibelt tetap dengan keputusannya.

Zivkovic diberi tugas mengambil sepakan penalti untuk Bangkok United. Penyerang Belanda itu bernasib malang apabila rembatannya sekadar singgah di palang.

Zivkovic kemudiannya tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan pada minit ke-22. Situasi ini mendorong jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan memasukkan Teerasil Dangda sebagai pemain gantian.

Bangkok United terus memberi tekanan ke atas LCS tetapi keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus memberi tekanan kepada benteng pelawat yang diketuai Safuwan dan Hariss Harun.

LCS bernasib malang apabila Reibelt menganugerahkan penalti buat kali kedua kepada Bangkok United. Pengadil Australia itu turut melayangkan kad merah kepada Hariss kerana menghalang peluang menjaringkan gol.

Penalti tersebut mudah disempurnakan penyerang Oman, Muhsen Al-Ghassani melepasi Susak pada minit ke-63.

Muhsen hampir menambah jaringan pada minit ke-79. Malangnya, rembatan deras beliau sekadar mengenai tiang sebelum dikeluarkan pertahanan LCS.

Bangkok United terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan pasukan itu terus menghambat pendahulu kumpulan, Persib Bandung dengan enam mata.

Sofascore memilih Weerathep Pomphan sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.7. Beliau mengatasi Susak dan Ilias Alhaft yang berkongsi 7.6 mata.

Selepas ini, Lion City Sailors akan menentang Albirex Niigata pada 27 Oktober. Bangkok United pula akan menentang Lamphun Warrior pada 26 Oktober.