Persib Bandung membuka tirai kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dengan satu mata apabila diikat Lion City Sailors (LCS) dalam aksi pertama Kumpulan G.
Kedua-dua pasukan bukan saja memburu kemenangan pertama dalam Kumpulan G. Malah, ini peluang anak buah Aleksandar Rankovic membalas dendam selepas tewas 3-2 kepada lawan sama pada November 2024.
Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun kembali berada dalam kesebelasan utama LCS. Bekas kapten Perak FC, Luciano Guaycochea mengemudi jentera tengah Pangeran Biru.
Persib cuba mencari gol awal dengan sokongan penyokong di Stadium Gelora Bandung Lautan Api. Gandingan Saddil Ramdani, Ramon, Uilliam dan Eliano Reijnders ditagih untuk merobek gawang pelawat.
Meskipun begitu, tuan rumah berdepan kesukaran menembusi benteng The Sailors yang menggunakan taktik 5-4-1. Hariss dan bekas kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin kental menyerap asakan Persib.
Guaycochea hampir membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-22. Malangnya, percubaannya dinafikan penjaga gol LCS, Ivan Susak.
Kedua-dua pasukan terus berusaha memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Persib terus memberi tekanan kepada benteng LCS yang diketuai Hariss.
Gawang pelawat yang dikawal Susak akhirnya bocor pada minit ke-47 menerusi Saddil. Bekas pemain sayap Sabah FC itu bijak melepasi pertahanan LCS sebelum menewaskan penjaga gol Croatia itu.
Maxime Lestienne hampir menyamakan kedudukan buat The Sailors pada minit ke-69. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Teja Paku Alam.
Teja terus menjadi penghalang kepada pelawat dengan membuat dua tepisan berkelas dunia pada minit ke-88. Ini selepas beliau menafikan percubaan Bailey Wright dan Lennart Thy.
LCS terus memberi tekanan kepada Persib dan berjaya meraih gol penyamaan menerusi Thy. Keputusan ini meletakkan Persib dan LCS di belakang pendahulu Kumpulan G, Bangkok United dengan satu mata.
Meskipun tewas, Wright dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.9. Beliau mengatasi Saddil yang meraih 7.8 mata.
Selepas ini, Pangeran Biru akan menentang Arema pada 22 September. LCS pula akan menentang Tanjong Pagar United pada hari yang sama.