ACL2: Kedudukan Terkini Selangor Setelah Tamat Perlawanan Minggu Pertama
MakanBola
Selangor FC

Selangor terlepas peluang untuk membuka kempen AFC Champions League Two (ACL2) dengan permulaan yang positif selepas dihampakan oleh Bangkok United.

Pada Khamis, Selangor kendalian Katsuhito Kinoshi turun di Stadium MBPJ bagi menanti kehadiran Bangkok United dan membawa misi besar untuk meraih 3 mata penuh di hadapan peminat sendiri.

Walau bagaimanapun, impian itu tidak kesampaian apabila Bangkok United lebih bijak mengambil kesempatan di atas kesilapan kecil pemain Selangor dan berhasil mencetak 4 jaringan.

Dua jaringan Ilias Alhaft dan satu gol masing-masing oleh Muhsen Al Ghassani serta Philipe Maia sudah cukup buat Bangkok United mencuri 3 mata berharga di kubu kuat Selangor ini.

Chrigor Moraes dan Aliff Izwan berjaya memberikan dua gol untuk pasukan Selangor namun itu tidak dapat menghalang kekalahan skuad Gergasi Merah ini 2-4 dalam aksi pertama kumpulan.

Kekalahan ini meletakkan Selangor di kedudukan tercorot kumpulan G tanpa sebarang mata tatkala Bangkok United pula tampak selesa mendahului dengan berada di puncak.

Kedudukan kedua dan ke-3 kumpulan G pula dihuni oleh Persib Bandung dan Lion City Sailors selepas kedua-dua wakil Indonesia dan Singapura ini sekadar terikat seri 1-1.

Perlawanan kedua ACL2 bakal berlangsung pada 1 Oktober nanti dengan Selangor akan berkunjung ke Singapura untuk bertemu Lion City Sailors tatkala Bangkok United berdepan Persib Bandung.