Jurulatih Lion City Sailors (LCS), Aleksandar Rankovic mengakui pasukan itu patut menjaringkan lebih banyak gol ketika menentang Selangor FC.
Pandangan itu dibuat beliau selepas finalis Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim lepas itu meraih kemenangan 4-2 ke atas kelab gergasi Lembah Klang itu dalam aksi kedua Kumpulan G.
Bekas penyerang Yokohama F. Marinos, Anderson Lopes menyumbat empat gol buat tuan rumah. The Red Giants membalas menerusi Chrigor Moraes dan Faisal Halim.
Rankovic mengakui dengan deretan peluang yang dimiliki anak buahnya dalam perlawanan tersebut, mereka sepatutnya memastikan kelebihan jaringan mereka lebih selesa.
“Satu-satunya perkara yang saya ingin katakan ialah kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol,” katanya selepas perlawanan.
“Kita juga dibolosi gol kedua yang tidak sepatutnya berlaku, di mana itu menambah rencah kemeriahan buat para penyokong.
“Tetapi yang bagusnya ialah saya ada dua atau tiga penyerang yang bagus kerana mereka bersaing antara satu sama lain dan itu mendorong kepada prestasi terbaik mereka.”
LCS kini menerajui Kumpulan G meskipun berkongsi empat mata dengan Persib Bandung. Ini kerana anak buah Rankovic memiliki kelebihan gol yang lebih baik daripada juara liga Indonesia itu.