Kelab India, Mohun Bagan membuat kejutan dengan menarik diri daripada saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Keputusan kelab India itu disahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Ini selepas Mohun Bagan enggan beraksi di Isfahan, Iran untuk aksi Kumpulan C menentang Sepahan atas alasan keselamatan.
Keengganan pasukan itu bertolak ke Iran turut diumumkan pengurusan kelab dalam satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Mohun Bagan Super Giant mengutamakan keselamatan dan kebajikan pemain, pegawai dan staf sokongan.
“Para pemain dan ahli keluarga mereka telah menyatakan kebimbangan untuk bertolak ke Iran. Kelab mengambil keputusan (untuk tidak pergi ke Iran) selepas membuat pertimbangan teliti tentang permohonan keselamatan mereka,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Mohun Bagan turut memaklumkan mereka akan merujuk kes mereka kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mendapatkan resolusi yang sesuai.
Susulan itu, AFC memaklumkan tindakan Mohun Bagan itu sebagai tindakan menarik diri daripada saingan ACL2. Ini menjadikan keputusan aksi pertama Kumpulan C membabitkan kelab itu tidak akan dikira.
AFC turut memaklumkan disebabkan situasi itu, mata daripada perlawanan tersebut tidak akan dikira dalam menentukan kedudukan akhir Kumpulan C.
Ini bukan kali pertama Mohun Bagan menarik diri daripada saingan ACL2. Musim sebelumnya menyaksikan kelab itu turut menarik diri selepas tidak mahu menentang kelab Iran, Tractor SC atas sebab yang sama.
Musim 2024/25 turut menyaksikan Shandong Taishan menarik diri daripada saingan ACLE. Hal ini menyebabkan AFC memaklumkan semua keputusan membabitkan pasukan itu tidak dikira.
Sekiranya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin AFC, Mohun Bagan berpotensi dikenakan hukuman berat oleh badan induk itu seperti yang dialami Shandong.
Shandong dikenakan denda AS$50,000 (RM210,000), dilarang menyertai kejohanan AFC selama dua musim dan diarah memulangkan semula wang dan hadiah penyertaan sebanyak AS$800,000 (RM3.4 juta).