Kekalahan Selangor di tangan Persib Bandung meletakkan skuad Gergasi Merah kini di kedudukan merbahaya dalam carta kumpulan G AFC Champions League Two (ACL2).
Perlawanan ke-3 kumpulan G menyaksikan Selangor terbang ke Indonesia untuk berdepan Persib Bandung membawa misi penting memburu kemenangan sulung dalam saingan ACL2 musim ini.
Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila Selangor terpaksa akur dengan kehebatan Persib Bandung yang lebih unggul selepas anak didik Bojan Hodak itu meraih 3 mata di laman sendiri.
Jaringan oleh Adam Alis dan Andrew Jung pada setiap babak memberi kemenangan berharga kepada Persib Bandung dan membuatkan Selangor pulang dengan kehampaan sekali lagi.
Keputusan 2-0 ini meletakkan Selangor di tangga tercorot kumpulan G tanpa sebarang mata setelah 3 aksi manakala Persib Bandung kini selesa memimpin carta dengan 7 mata.
Bangkok United pula terus mengekori rapat di tangga kedua kumpulan dengan 6 mata setelah berjaya menewaskan Lion City Sailors 1-0 sekaligus meletakkan kelab Singapura itu di kedudukan ke-3.
Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Selangor kembali ke Stadium MBPJ untuk melayani kunjungan Persib Bandung pada 6 November hadapan dan Lion City Sailors vs Bangkok United di Singapura pada hari yang sama.