ACL2: Selangor Tersingkir, Persib Bandung Bangkit Saat Akhir
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC tersingkir daripada saingan ACL2 selepas tewas kepada Persib Bandung di Stadium MBPJ.

Selepas tewas kepada juara liga Indonesia itu di Bandung pada 23 Oktober lalu, The Red Giants perlu menang dalam aksi keempat Kumpulan G di Stadium MBPJ.

Bekas bek tengah Senegal B-20, Mamadou Diarra membuat penampilan sulung bersama Selangor. Andrew Jung menjadi sandaran gol pengendali Persib, Bojan Hodak.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Chrigor Moraes. Moraes tenang menyudahkan hantaran Alvin Fortes yang menewaskan Teja Paku Alam.

14 minit kemudian, Selangor menggandakan kelebihan menerusi gol sendiri Patricio Matricardi. Matricardi bernasib malang tertolak bola ke dalam gawang sendiri ketika cuba mendapatkan bola daripada Zach Clough.

Persib cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan menerusi gandingan Jung, Uilliam Barros dan Berguinho tetapi tidak berhasil.

Kesungguhan benteng Selangor diketuai Diarra menyerap tekanan pelawat memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Persib terus meningkatkan tekanan ke atas benteng Selangor untuk mengurangkan defisit gol.

Hasilnya, Jung berjaya mengurangkan defisit gol pada minit ke-48. Penyerang Perancis itu mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Selangor untuk menewaskan Sikh Izhan Nazrel.

Meskipun berjaya mengurangkan defisit gol, Persib terus buntu mencari gol penyamaan. Ini memaksa Hodak memasukkan Robi Darwis, Adam Aris dan Beckham Putra.

Selangor pula memilih memasukkan bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira menggantikan Moraes.

Adam menceriakan kem Persib dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-81. Beliau memastikan kemenangan pelawat dengan gol ketiga pada minit akhir perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Selangor tersingkir tanpa sebarang mata daripada empat perlawanan. Persib pula di tangga pertama Kumpulan G dengan 10 mata..

Sofascore memilih Thom Haye sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.7. Beliau mengatasi Chrigor dengan kelebihan 0.2 mata.

Selepas ini, Selangor mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Sabah FC pada 9 November.