ACL2: Selangor Terlepas 3 Mata Di Tangan Bangkok United
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor tunduk kepada Bangkok United dalam aksi pertama saingan ACL 2 musim ini dengan keputusan 2-4 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis.

Skuad tuan rumah, The Red Giants menurunkan Kalamullah Al Hafiz di bahagian penjaga gol dan Harith Haiqal sebagai pertahanan manakala Noor Al-Rawabdeh menggalas lilitan kapten.

Sementara itu, pasukan pelawat, Bangkok United membariskan Patiwat Khammai di posisi benteng terakhir dan Muhsen Al-Ghassani mengemudi jentera serangan.

Skuad julukan Bangkok Angels tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan menerusi ledakan Ilias Alhaft pada minit ke 11′ aksi.

Selangor yang dilihat tersentak dengan jaringan tersebut dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan pelawat namun ketangkasan dan disiplin pemain-pemain Bangkok United harus diberi pujian.

Bangkok United menambah jaringan aksi pada minit ke 15′ menerusi bintang Oman, Muhsen Al-Ghassani bagi memastikan skuad tersebut mendahului dengan dua gol.

Chrigor Moraes berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke 23′ hasil bantuan Quentin Cheng sekaligus menyalakan peluang skuad tersebut bagi meraih 3 mata penuh.

Ilias Alhaft turut menambah jaringan kedua beliau bagi aksi ini pada minit ke 24′ sejurus perlawanan diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan Bangkok United dengan 2 gol di hadapan.

The Red Giants terpaksa akur selepas pemain pertahanan, Harith Haiqal dilayangkan kad merah pada minit 39 hasil kekasaran ke atas Seia Kunori.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-3 memihak kepada pasukan pelawat, Bangkok United.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad tuan rumah, Selangor dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan.

Memasuki minit ke 60′ perlawanan kedudukan masih didahului oleh pasukan Bangkok Angels dengan 2 gol.

Bangkok United tampak menguasai perlawanan di separuh masa kedua dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah Kalamullah Al Hafiz.

Selangor melakukan pertukaran pada minit ke 73′ dengan mengeluarkan Kevin Deeromram dan memasukkan Aliff Izwan bagi menambah bisa serangan.

Aliff Izwan berjaya memecahkan kebuntuan jaringan kedua skuad Selangor sejurus dimasukkan dengan sentuhan pertama aksi beliau sekaligus mendekatkan defisit gol.

Bangkok United mendapat jaringan ke 4 aksi hasil tandukan mudah Philippe Maia pada minit ke 84′ sekaligus menutup peluang skuad Selangor untuk meraih 3 mata penuh.

Perlawanan tamat dengan keputusan 2-4 memihak kepada pasukan pelawat, Bangkok United bagi aksi pembukaan ACL 2 kedua-dua kelab.