Buriram United berjaya mengikat pasukan tuan rumah, Ulsan Hyundai dengan keputusan 0-0 dalam aksi ke-5 saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2025-2026 di Stadium Bola Sepak Munsu, Korea Selatan.
Pasukan tuan rumah, Ulsan HD membariskan Moon Jeong di bahagian penjaga gol dan Marcos Vinicius sebagai ayam tambatan pasukan tersebut.
Sementara itu, Buriram United menurunkan Neil Etheridge di benteng terakhir dan Curtis Good sebagai pertahanan kental manakala gandingan Robert Zulj & Guilherme Bissoli sebagai jentera serangan.
Ulsan Hyundai bermula dengan garang apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang pasukan Buriram United bagi mendapatkan gol pembukaan aksi.
Ulsan yang mendapat tonik tambahan menerusi sokongan ribuan penyokong di halaman sendiri berjaya mengucar kacirkan beberapa kali pertahanan Buriram United.
Buriram United turut melakukan beberapa serangan menerusi penyerang berbisa, Robert Zulj namun tidak menemui sasaran pada awal separuh masa pertama.
Memasuki minit ke 35′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan meskipun kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang memukau.
Ulsan Hyundai tampak menguasai separuh masa pertama dilihat gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri untuk meledak jaringan pembukaan.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung separuh masa kedua, Ulsan Hyundai dan Buriram United dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi membuka akaun jaringan masing-masing.
Ulsan berjaya mendapat peluang berharga untuk membuka akaun jaringan pada minit ke 54′ menerusi tandukan Myungguan namun percubaan tersebut berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge.
Buriram United turut melakukan serangan balas bagi mencari gol pembukaan namun segala usaha tidak menemui jaring pasukan tuan rumah.
Memasuki minit ke 75′ kedudukan aksi masih terikat tanpa jaringan meskipun beberapa percubaan berbahaya dapat dihasilkan oleh kedua-dua kelab.
Ulsan Hyundai dilihat berjaya mengawal tekanan yang diberikan oleh pasukan Buriram United dalam 10 minit terakhir bagi memastikan satu mata berharga dikutip.
Aksi tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan dalam aksi ke-5 saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2025-2026 di Stadium Bola Sepak Munsu, Korea Selatan.
Ulsan Hyundai bakal meneruskan aksi ACLE dengan menentang wakil dari Jepun, Machida Zelvia pada 9 Disember depan dalam aksi ke-6 saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini di Stadium Machida.
Sementara itu, Buriram United akan bertemu pasukan Gangwon bagi perlawanan ke-6 saingan ACLE 2025-206 di halaman sendiri pada 9 Disember.