ACLE: Chengdu Rongcheng Singkirkan Bangkok United
MakanBola
AFC

Hasrat kelab Thailand, Bangkok United layak ke saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musnah apabila tewas kepada kelab China, Chengdu Rongcheng dalam aksi penentuan playoff.

Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk menambah wakil negara masing-masing dalam saingan ACLE.

Bekas penyerang Lion City Sailors (LCS), Richairo Zivkovic mengetuai jentera serangan Bangkok Angels. Penyerang Brazil, Felipe Silva menjadi sandaran gol Chengdu Rongcheng.

Separuh masa pertama menyaksikan Bangkok United berusaha mencari jaringan awal menerusi Zivkovic, Seia Kunori, Kyoga Nakamura dan Ilias Alhaft.

Situasi ini memaksa barisan pertahanan Chengdu diketuai bek tengah Belanda, Timo Letschert bekerja keras mematahkan serangan Bangkok United.

Chengdu selaku tuan rumah juga berusaha mengasak menerusi Silva, Romulo dan Pedro Delgado tetapi tidak berhasil.

Ketumpulan serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha untuk memecah kebuntuan di Pusat Sukan Chengdu.

Pengendali Bangkok Angels, Sripan Totchtawan memasukkan Jakkaphan Praisuwan sebagai pengganti Manuel Bih di bahagian pertahanan.

Ini membuka ruang buat Chengdu menyumbat dua gol dalam tempoh tiga minit. Ming Yang Yang meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-68.

Silva kemudiannya mencetak nama sebagai penjaring tiga minit selepas itu. Situasi ini mendorong Pripan memasukkan Teerasil Dangda dan Luka Adzic untuk mengubah momentum perlawanan.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, Silva menambah derita Bangkok United dengan menyumbat gol kedua peribadi pada minit ke-83.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Chengdu mengiringi dua pasukan hebat dari Shanghai, Shanghai Port dan Shanghai Shenhua ke peringkat Liga Timur ACLE.

Bangkok United pula tersingkir ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Antara pasukan yang dijangka menjadi pesaing pasukan itu ialah naib juara Liga Super musim lepas, Selangor FC.