Pengendali Machida Zelvia, Go Kuroda tidak melihat ketiadaan beberapa pemain warisan Malaysia dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai kelebihan buat pasukannya.
Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya sama ada ketiadaan mereka bakal membantu kelab Jepun itu beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Sebelum ini, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal antara tujuh pemain warisan negara yang digantung selama 12 bulan FIFA atas dakwaan mengemukakan dokumen palsu.
Susulan itu, ketiga-tiga pemain Harimau Selatan itu juga tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) sementara FAM mengemukakan rayuan kepada FIFA.
Apabila ditanya tentang ketiadaan Hevel, Figueiredo dan Irazabal, Kuroda langsung tidak melihat itu sebagai satu kelebihan buat Zelvia.
Ini kerana JDT masih memiliki ramai pemain berkualiti yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan ketiga-tiga pemain itu menjelang aksi kedua Liga Timur ACLE itu.
“Sebenarnya, situasi ini tidak banyak berubah. Kita mahu menonjolkan Machida Zelvia sebagai sebuah pasukan yang bagus.
“Jadi, kita tahu (JDT) kehilangan tiga pemain di pihak mereka. Pihak kita juga ada pemain yang mahu bermain tetapi tidak boleh disebabkan faktor tertentu.
“Jadi, situasi ini tidak memberi kelebihan kepada kita. Kita perlu bermain dan menunjukkan cara bola sepak kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Zelvia juga terpaksa beraksi tanpa kelibat pemain tengah Israel, Neta Lavi. Ini selepas namanya tidak disenaraikan untuk aksi kali ini.