Johor Darul Ta’zim (JDT) diletakkan di dalam balang satu bersama 5 lagi pasukan termasuk Ulsan HD dan Buriram United menjelang sesi undian AFC Champions League Elite (ACLE).
Pada musim 2025-2026 ini, JDT sekali lagi muncul sebagai wakil tunggal Malaysia dalam saingan ACLE setelah berjaya menjuarai Liga Super dan bakal membawa nama negara di peringkat Asia.
Kemas kini oleh pihak Asian Football Confederation (AFC) pada Rabu menyaksikan skuad Harimau Selatan ini telah diletakkan di dalam balang satu menjelang sesi undian ACLE nanti.
Selain JDT, sebanyak 5 lagi kelab hebat turut berada sama di dalam balang ini antaranya adalah 3 pasukan dari rantau Asia Timur seperti Vissel Kobe (Jepun), Ulsan HD (Korea Selatan) dan Shanghai Port (China).
Buriram United yang juga pesaing hebat JDT di rantau Asia Tenggara ini turut diletakkan di dalam balang satu bersama pasukan naib juara Liga Australia musim lalu iaitu Melbourne Victory.
Di balang dua pula terdapat pasukan hebat seperti Sanfrecce Hiroshima dan FC Machida Zelvia (Jepun); FC Seoul beserta Gangwon FC (Korea Selatan) selain Shanghai Shenhua dan Chengdu Rongcheng (China).
Sesi undian dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 15 Ogos ini jam 5 petang di saluran Youtube AFC.