Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan kedua dalam ACLE dengan mengalahkan Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan kedua dalam kejohannan itu. Ini kerana kemenangan kedua dapat melonjakkan kedudukan JDT dan Shenhua dalam kelompok lapan teratas Liga Timur ACLE.
Arif Aiman Hanapi dan Jairo da Silva mengetuai jentera serangan JDT. Luis Asue mengetuai jentera serangan pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan Harimau Selatan kerap mencemaskan benteng pertahanan Shenhua yang diketuai Wilson Manafa.
Jairo menyangka telah meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-23. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan atas kesalahan ofsaid.
Percubaan terbaik JDT hadir pada minit ke-39 menerusi Nacho Mendez. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Bao Yaxiong dengan percubaan susulan Oscar Arribas terkena palang.
Kesukaran kedua-dua pasukan memecah kebuntuan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, JDT tampil lebih garang menguji benteng Shenhua. Hasilnya, Jonathan Silva meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-48.
Shenhua makin tertekan apabila Arribas menggandakan kelebihan Harimau Selatan pada minit ke-63.
Pasukan Chinese Super League (CSL) itu kemudiannya mendapat talian hayat apabila dianugerahkan sepakan penalti. Saulo Mineiro tenang menewaskan Andoni Zubiaurre pada minit ke-71.
Shenhua berusaha mendapatkan jaringan penyamaan tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, Silva menyumbat gol ketiga pada minit ke-88 selepas menyudahkan gerakan Arif dan Teto Martins.
Shenhua sekali lagi hampa apabila gol kedua mereka dibatalkan pada minit akhir perlawanan. Ini selepas VAR mengesan kekasaran ke atas pemain JDT yang membawa kepada gol tersebut.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini melonjakkan JDT ke tangga kedua Liga Timur ACLE dengan tujuh mata.
Meskipun berkongsi mata sama dengan Ulsan HD, JDT memintas pasukan gergasi Korea Selatan itu dari segi kelebihan gol. Sofascore memilih Silva sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0.
Selepas ini, JDT akan menentang Kuching City FC untuk aksi separuh akhir Piala FA pada 8 November. Shenhua pula menutup kempen CSL dengan menentang Tianjin Jinmen Tiger pada 22 November.