Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih mata pertama dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan mengikat Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
JDT berharap dapat bangkit selepas tewas 2-1 dalam aksi pertama Liga Timur ACLE kepada Buriram United. Zelvia pula memburu kemenangan pertama dalam ACLE musim ini selepas diikat FC Seoul 1-1.
Zelvia turun tanpa kelibat jeneral tengah Israel, Neta Lavi. Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva mengetuai jentera serangan tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan di SSI.
JDT kemudiannya ditimpa malang apabila pengadil Korea Selatan, Kim Jong-hyeok menganugerahkan sepakan penalti kepada Zelvia pada minit ke-20. Ini selepas Jonathan Silva dikesan menjatuhkan Na Sang-ho dalam kotak penalti.
Yuki Soma diberi tugas mengambil sepakan penalti. Jurulatih Zelvia, Go Kuroda kecewa apabila sepakan penalti Soma terkena tiang sebelum dikeluarkan pertahanan JDT.
Penyerang Jepun, Henry Heroki Mochizuki hampir menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-28. Walau bagaimanapun, percubaan beliau dinafikan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed.
Ager Aketxe hampir merobek gawang Zelvia pada minit akhir babak pertama. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol pelawat, Kosei Tani.
Kesukaran kedua-dua pasukan memecah kebuntuan memastikan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Kuroda memilih memasukkan pemain Australia, Mitchell Duke pada separuh masa kedua.
Zelvia terus memberi ancaman kepada kubu JDT menerusi percubaan jarak dekat Sang-ho. Malangnya, percubaan penyerang Korea Selatan itu disekat Syihan.
Situasi ini mendorong pengendali JDT, Xisco Munoz memasukkan Jairo da Silva sebagai pengganti Bergson untuk memburu gol.
Pemain pertahanan, Eddy Israfilov hampir memecah kebuntuan buat Harimau Selatan pada minit ke-74. Walau bagaimanapun, percubaan Israfilov dinafikan Tani.
Kedua-dua pasukan terus buntu mencipta jaringan sekaligus memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT dan Zelvia masing-masing di tangga kelapan dan kesembilan Liga Timur ACLE dengan dua dan satu mata.
Syihan dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore atas persembahan mantapnya di depan gol. Beliau mendapat markah 8.0, 0.6 mata di depan Israfilov.
Selepas ini, JDT akan menentang Malaysian University FT untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA pada 2 Oktober. Zelvia pula akan menentang Sanfreece Hiroshima pada 4 Oktober.