Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya meraih kemenangan pertama dalam ACLE apabila menewaskan wakil China, Chengdu Rongcheng.
JDT berharap dapat meraih tiga mata pertama dalam ACLE dalam aksi ketiga Liga Timur ACLE. Chengdu pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Gangwon 1-0.
Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi kembali berada dalam kesebelasan utama Harimau Selatan. Pedro Delgado menjadi sandaran gol jurulatih Chengdu, Seo Jung-won.
JDT membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Oscar Arribas. Arribas membuat larian ke dalam kotak penalti tuan rumah sebelum menewaskan penjaga gol Chengdu, Liu Dianzuo.
Tersentak, Chengdu cuba bangkit mencari gol penyamaan. Malangnya, barisan pertahanan JDT diketuai Antonio Glauder pantas menutup ruang sebelum Chengdu melancarkan serangan.
Penyerang Brazil, Jairo da Silva hampir menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-35. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Dianzuo.
JDT terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih JDT, Xisco Munoz memasukkan pemain pertahanan veteran, Shane Lowry menggantikan Eddy Israfilov.
Ini selepas Israfilov mengalami kecederaan pada minit akhir babak pertama. Ini menyaksikan Lowry bergandingan dengan Antonio Glauder di bahagian bek tengah.
Selepas berjaya menyerap tekanan Chengdu, JDT meraih gol kedua menerusi Nacho Mendez. Bekas kapten Sporting Gijon itu melepaskan rembatan yang menewaskan Dianzuo pada minit ke-62.
Chengdu cuba mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini melonjakkan JDT ke tangga kelima Liga Timur ACLE dengan empat mata.
Sofascore memilih Arribas sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5. Beliau mengatasi Mendez dengan kelebihan 0.8 mata.
Selepas ini, JDT akan menentang Brunei DPMM FC pada 25 Oktober. Chengdu pula akan menentang Qingdao Youth Island sehari selepas itu untuk aksi liga China.