Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan langkah kiri apabila tewas kepada Buriram United di Stadium Buriram.
Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan meraih mata pertama dalam Liga Timur ACLE. Malah, ini peluang JDT membalas dendam kepada Buriram selepas disingkirkan pasukan itu di pusingan 16 edisi musim lalu.
Penyerang Harimau Malaya, Joao Figueiredo terus menjadi sandaran gol pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz. Penyerang Brazil, Guilherme Bissoli mengetuai jentera serangan tuan rumah.
Tidak sampai 24 saat perlawanan bermula, Figueiredo menyangka telah meletakkan JDT di hadapan. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh VAR.
Ini selepas VAR mengesan bola terkena tangan Figueiredo sebelum serangan pantas yang membawa kepada gol pelawat.
Tujuh minit kemudian, giliran Thunder Castle pula menyangka telah memecah kebuntuan menerusi Bissoli. Malangnya, gol itu dibatalkan atas kesalahan ofsaid.
JDT akhirnya mendahului pada minit ke-25 menerusi bek tengah, Antonio Glauder. Glauder pantas menolak bola melepasi penjaga gol Filipina, Neil Etheridge.
Tuan rumah berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Buriram terus memperhebatkan serangan untuk memburu gol penyamaan.
Hasilnya, Thunder Castle meraih gol penyamaan menerusi Suphanat Mueanta pada minit ke-51. Meskipun dikawal pertahanan JDT, Suphanat melepaskan rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol pelawat, Andoni Zubiaurre.
Tujuh minit kemudian, beliau memainkan peranan sebagai pencipta gol. Suphanat melorongkan bola yang mudah ditolak Robert Zulj yang menewaskan Zubiaurre.
Buriram menyangka mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-76. Ini selepas pemain gantian tuan rumah, Fejsal Mulic dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Raul Parra.
Walau bagaimanapun, keputusan penalti itu kemudiannya dibatalkan oleh VAR sekaligus memberi kelegaan kepada Parra dan JDT.
JDT hampir meraih jaringan penyamaan menerusi Figueiredo pada minit ke-82. Malangnya, tandukan beliau berjaya ditepis Etheridge.
JDT terus memburu jaringan penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Buriram berada di tangga ketiga liga di belakang Sanfreece Hiroshima dan Gangwon FC.
JDT pula berada di tangga ke-10 tanpa sebarang mata. Suphanat dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.0.
Selepas ini, JDT akan menentang Sabah FC pada 21 September. Buriram pula akan menentang Bangkok United pada hari yang sama.