Pengendali Buriram United, Osmar Loss Vieira menganggap Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memberi cabaran berbeza kepada pasukan itu menjelang aksi pertama Liga Timur ACLE.
Pandangan itu dibuat pengendali berusia 50 tahun itu apabila ditanya tentang perbandingan antara JDT dan satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC.
Buriram dan Selangor berentap dalam aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup pada 20 Ogos lalu, Aksi tersebut menyaksikan Merah Kuning mengikat Thunder Castle 1-1.
Apabila ditanya tentang perbandingan tersebut, Vieira menganggap kedua-dua pasukan berbeza dari segi corak permainan.
Ini kerana Selangor lebih gemar menyerang balas dengan JDT pula lebih suka mendominasi bola. Vieira juga sedar Harimau Selatan juga gemar menyerang menerusi jentera serangan berbisa mereka.
Atas sebab itu, pengendali Brazil itu mahu Buriram berada dalam tahap terbaik jika mahu meraih mata pertama dalam ACLE.
“Mereka bermain dalam liga sama (Liga Super) tetapi kedua-dua pasukan sangat berbeza. Satu pasukan lebih kepada serangan balas iaitu Selangor.
“Johor pula lebih kepada mendominasi perlawanan. Mereka memiliki corak menyerang yang bagus. Kita perlu mengelak daripada terperangkap (dengan corak permainan mereka).
“Kita bermain di tempat sendiri, kita tahu ini perlawanan pertama (Liga Timur) Liga Juara-Juara AFC Elit. Amat penting bagi kita mendapatkan mata agar suasana memihak kepada kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.
Buriram berharap dapat melebarkan rekod baik ke atas JDT kepada empat perlawanan. Sebelum ini, Thunder Castle berjaya mengikat JDT sebanyak dua kali dan menang dalam aksi kedua pusingan 16 ACLE musim lalu.
Kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium Buriram pada 16 September ini.