ACLE: Kedudukan Terkini JDT Selepas Rebah Di Tangan Buriram United
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur membuka kempen AFC Champions League Elite (ACLE) setelah tewas kepada Buriram United.

Pada Selasa, JDT terbang ke Thailand untuk menghadapi Buriram United dalam perlawanan pertama ACLE dengan misi memungut 3 mata sulung meskipun beraksi di laman lawan.

Permulaan positif dilakar oleh JDT di awal permainan apabila Antonio Glauder meletakkan pasukan Harimau Selatan ini di hadapan pada minit ke-28 berpunca dari tendangan penjuru.

Walau bagaimanapun, Buriram United berjaya untuk bangkit di babak kedua menerusi jaringan Suphanat Muenta di minit ke-50 dan Robert Zulj selang 4 minit kemudian untuk skor 2-1.

Permainan semakin rancak selepas itu namun tiada sebarang jaringan tambahan yang terhasil membuatkan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat aksi dan JDT terpaksa akur kempunan 3 mata.

Keputusan ini meletakkan JDT kini di tangga ke-10 ACLE zon Timur tanpa sebarang mata tatkala Buriram United berada di tempat ke-3, berkongsi mata bersama Sanfrecce Hiroshima dan Gangwon.

Kedudukan liga ini berpotensi berubah ketika mana dua lagi perlawanan akan berlangsung pada Rabu melibatkan Ulsan HD vs Chengdu Rongcheng dan jug Shanghai Port vs Vissel Kobe.

Selepas ini, JDT akan kembali ke Malaysia dan dijadualkan menentang kelab Jepun, Machida Zelvia dalam aksi kedua ACLE pada 30 September depan di Stadium Sultan Ibrahim.