JDT terikat tanpa jaringan bersama wakil dari China, Shanghai Port dalam aksi ke-6 saingan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
JDT membariskan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Natxo Insa sebagai ketua pasukan manakala Bergson da Silva mengemudi jentera serangan.
Shanghai Port menurunkan Wei Chen di benteng terakhir dan Gabrielzinho menjadi ayam tambatan pasukan dari China tersebut.
JDT bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan lawan menerusi gerakan lincah Bergson & Jairo da Silva.
Harimau Selatan dilihat menguasai penuh perlawanan separuh masa pertama dengan melakukan lambakan percubaan namun gagal menerjah jaring Shanghai Port.
Nacho Mendez berjaya melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke-32 namun ketangkasan penjaga gol, Wei Chen harus diberi pujian.
Bergson bertubi-tubi melepaskan percubaan berbahaya namun masih gagal menembusi tembok besar dari China tersebut.
Syihan Hazmi menepis percubaan satu lawan satu bersama bintang Shanghai Port, Gabrielzinho pada minit ke-35 sekaligus memastikan JDT masih belum dibolosi bagi aksi ini.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan meskipun Harimau Selatan mempunyai banyak peluang keemasan.
Memasuki babak kedua perlawanan, JDT masih mengekalkan intensiti tinggi bagi memperoleh gol pembukaan.
JDT terus menerus mengasak kubu pasukan pelawat, Shanghai Port bagi menceriakan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim.
Percubaan kencang Bergson da Silva pada minit ke-62 hanya singgah di palang pasukan lawan, Shanghai Port.
Natxo Insa dikeluarkan pada minit ke-65 dan dimasukkan pemain berprolifik muda Harimau Selatan, Teto Martin bagi menambah bisa di bahagian hadapan.
Nacho Mendez memiliki peluang keemasan untuk meledak jaringan aksi pada minit ke-80 namun percubaan beliau hanya singgah di tiang gol.
Memasuki minit ke-85 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun JDT mempunyai lebih 40 percubaan.
Manuel Hidalgo dimasukkan pada masa kecederaan separuh masa kedua bagi memberikan impak di minit-minit akhir aksi.
Aksi tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan bagi aksi minggu ke-6 saingan ACLE 2025-2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa.