ACLE: “Shanghai Shenhua Lebih Baik Kali Ini” – Leonid Slutsky
MakanBola
Shanghai Shenhua FC

Pengendali Shanghai Shenhua, Leonid Slutsky percaya pasukannya mengharungi persediaan lebih baik sebelum menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hal ini dinyatakan jurulatih Russia berusia 54 tahun itu dalam sidang media praperlawanan kedua-dua pasukan itu.

Slutsky melihat persediaan Shenhua untuk aksi kali ini lebih baik daripada musim lepas. Ini kerana anak buahnya mendapat rehat yang cukup kerana beraksi di Chinese Super League (CSL) pada Jumaat.

“Saya pernah beritahu, (aksi menentang JDT pada musim lepas) ia satu tempoh yang sukar buat kita. Sebab kita bermain pada Sabtu sebelum sekali lagi beraksi pada Selasa.

“Kita berdepan kesukaran beraksi di tempat lawan dan kita bermain dalam Chinese Super League selama 17 minit dengan 10 pemain.

“Kita tidak memiliki peluang secara fizikal kerana kita terlampau penat dan kita tiada peluang,” katanya.

Selain itu, bekas jurulatih Hull City itu melihat skuad yang dibawanya ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) juga lebih kompetitif.

Meskipun sedar JDT sangat kuat bila beraksi di SSI, beliau percaya aksi tersebut akan menjadi aksi menarik buat penyokong kedua-dua pasukan.

“Saya fikir untuk esok, persediaan kita lebih baik dan kita ada skuad yang lebih kompetitif,” ujarnya.

“Sudah tentu Johor sangat kuat beraksi di laman sendiri dalam Liga Juara-Juara tapi saya fikir satu perlawanan yang adil (buat kedua-dua pasukan).”

JDT dan Shenhua masing-masing memburu kemenangan kedua menjelang aksi keempat Liga Timur ACLE di SSI pada 5 November.

JDT berharap dapat menjadikan Shenhua sebagai mangsa seterusnya. Ini selepas mereka menewaskan Chengdu Rongcheng 2-0 dalam aksi sebelumnya.