Tiga kelab Jepun antara lapan pasukan elit Asia yang bakal menjadi lawan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Berdasarkan undian yang dijalankan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), anak buah Xisco Munoz bakal dicabar lapan pasukan hebat.
Daripada lapan pasukan tersebut, tiga daripadanya berpangkalan di Jepun. Tiga kelab itu ialah Vissel Kobe, Machida Zelvia dan Sanfreece Hiroshima.
Harimau Selatan juga akan berdepan dua kelab gergasi China yang berpangkalan di Shanghai iaitu Shanghai Port dan Shanghai Shenhua. JDT juga akan berdepan pendatang baru ACLE, Chengdu Rongcheng.
Kelab gergasi Thailand, Buriram United dan Melbource City melengkapkan senarai lapan pasukan yang akan ditentang juara Liga Super 11 kali itu dalam Liga Timur ACLE.
Saingan peringkat liga ACLE bakal berlangsung dari 15 September 2025 hingga 18 Februari 2026. Lapan pasukan teratas liga akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Pusingan 16 pasukan terbaik akan diadakan pada 2 hingga 11 Mac ini. Ini disusuli acara suku akhir, separuh akhir dan final yang diadakan secara berpusat di Arab Saudi.
Kesemua peringkat ini masing-masing akan berlangsung dari 17 hingga 25 April 2026.