Skuad Harimau Malaya menerima senarai awal panjang nama 28 pemain yang dikatakan memiliki darah warisan Malaysia.
Hal ini didedahkan sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menjelaskan situasi sebenar di sebalik usaha mendapatkan maklumat 7 pemain warisan Malaysia yang digantung ini.
Baginda dalam satu sesi sidang media memberitahu bahawa terdapat beberapa ejen yang menghantar nama calon-calon pemain warisan Malaysia sebelum diminta menyerahkannya kepada FAM.
”Kita ada ramai ejen dengan 27 pemain. Saya tidak terlibat secara langsung, ada seorang lagi terlibat iaitu Tengku Muda Pahang yang memperkenalkan saya dan melihat beberapa pemain,” cerita baginda.
“Saya cakap, ‘Semua orang, jika ada orang miliki maklumat tidak kira sama ada ejen atau tinjauan bakat, sila serahkan kepada FAM.’
Ternyata terdapat 28 nama pemain yang dikatakan memiliki darah Malaysia pada awalnya sebelum disemak oleh sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan akhirnya hanya tujuh pemain ini sahaja yang lulus.
“Bila mereka serahkan 27 atau 28 pemain jika saya tak silap, hanya 7 orang saja lulus dan itu diberi oleh sistem JPN. Yang lain tak lulus,” dedah DYAM Tunku Mahkota Ismail.
“Saya tidak melihat secara terperinci berkenaan perkara itu, saya fikir ini sudah cukup bagus, kita ada tujuh pemain dan itu saja.”
“Pada masa akan datang pun, kita akan tetap lihat perkara ini kerana kita miliki ramai pemain tempatan yang bagus di sini.”
“Akan tetapi jika kita ada pemain lain yang bermain di liga atau tahap lebih baik dan mereka mahu mewakili negara mereka, saya fikir (ini patut dilihat) demi kepentingan prestasi skuad kebangsaan.
7 pemain warisan ini iaitu Facundo Garces, Hector Hevel, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Gabriel Palmero masih lagi digantung oleo FIFA sejak 27 September lalu.
Keputusan rayuan yang dihantar oleh FAM dijangka bakal diumum pada 30 Oktober hadapan dengan kemungkinan FIFA tidak akan mengubah keputusan yang dikeluarkan sebelum ini.