Terdapat campur tangan daripada pihak FIFA yang tidak mahu Malaysia membawa kes 7 pemain warisan Harimau Malaya ke CAS dengan menghasut Tan Sri Haji Hamidin.
Perkara ini diceritakan sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selepas ditanya mengenai isu yang melanda bola sepak Malaysia dan FIFA.
Menurut Baginda, kita boleh membawa kes ini ke CAS akan tetapi terdapat pihak yang tidak mahu melihat hal ini terjadi yang membuatkan Tunku Ismail sendiri tidak pasti mengapa.
Baginda turut mendedahkan bahawa perkara ini bukan hanya andaian, sebaliknya diberitahu sendiri oleh wakil FIFA kepada Tan Sri Haji Hamidin, yang diminta agar kes berkenaan tidak dibawa ke CAS.
”Boleh tetapi mereka juga tidak mahu kita bawa kes ini ke CAS. Dia tak nak kita pergi ke CAS.”
”Saya tidak tahu (kenapa) tapi mereka memang tak nak kita pergi ke CAS kerana mereka sendiri beritahu kepada bekas Presiden FAM, jangan pergi ke CAS.”
”Saya tak tahu dia takut ke tak tapi mereka cakap kepada Tan Sri Hamidin, kalau boleh, perkara ini jangan dibawa ke CAS.”
”Awak boleh pergi tanya Tan Sri Hamidin sendiri, ada pihak daripada FIFA cakap kepada dia, jangan bawa benda ini ke CAS. Sangat aneh,” cerita Tunku Ismail.
Tambah Baginda, ada juga ugutan kepada Malaysia sekiranya terus berkeras untuk membawa perkara ini ke CAS antaranya untuk menggantung dan menjatuhkan hukuman lebih teruk lagi
”Tapi mereka ada juga ugut, mereka akan gantung kalau nak pergi ke CAS dan akan lakukan perkara lebih teruk,” tambah Baginda.
”Kita bakal pergi (ke CAS), kalah atau menang Allah lebih mengetahui.”
”Mereka bukan tak bagi, tapi mereka kata kalau boleh jangan pergi.”
”Awak boleh pergi tanya Tan Sri Hamidin sendiri, mungkin dia takut nak cakap oleh kerana dia dalam FIFA. Kalau dia cakap mungkin dia kena gantung tapi ini adalah cerita dialah.”
”Saya peduli apa, saya cakap sahaja. Maaf Tan Sri Hamidin.”
Kes Malaysia dan FIFA kini memasuki episod baharu selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan rayuan kepada CAS dan diberi masa 10 hari bagi menghantar hujahan bertulis yang lengkap.