Aidil Sharin: Kalau Saya Komen, Saya Rugi
MakanBola
Kuching City FC

Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan mengulas tentang mutu pengadilan aksi pertama pusingan 16 Piala FA pasukan itu dan Brunei DPMM FC.

Aksi tersebut diselubungi kontroversi apabila pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Hanafiah memilih membatalkan gol The Cats.

Sebaliknya, beliau menganugerahkan sepakan penalti kepada Kuching City. Ini selepas VAR mengesan insiden pemain DPMM, Fairuz Zakaria mengasari pemain The Cats sebelum Gabriel Nistelrooy menjaringkan gol.

Sepakan penalti yang diambil bekas penjaring terbanyak Piala MFL 2024/25 itu dinafikan penjaga gol DPMM, Kristijan Naumovski.

Pada akhirnya, DPMM melakar kemenangan 3-2 ke atas Kuching City di Stadium Hassanal Bolkiah. Ini sekaligus kemenangan pertama mereka untuk musim 2025/26.

Apabila diminta mengulas tentang isu mutu pengadilan, Aidil enggan memberi komen tentang hal berkenaan. Sebaliknya, beliau menyerahkan isu mutu pengadilan perlawanan kepada pihak berwajib.

“Kalau saya komen, saya rugi. Apa yang penting, perlawanan sudah selesai dan kami perlu terus maju ke hadapan,” katanya seperti yang dilaporkan TVS.

Aidil kini mengalihkan fokus untuk aksi liga seterusnya menentang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Ogos.

“Kami perlu segera pulih, merancang strategi dan kembali fokus untuk aksi menentang JDT. Ia perlawanan penting dan kami mahu cuba mendapatkan mata di tempat sendiri,” ujarnya.

Kuching City berharap dapat bangkit menentang DPMM dalam aksi timbal balik di Kuching pada 14 September ini.