Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu pasukan itu kekal fokus meskipun memiliki bekalan tiga gol ke atas lawan mereka, Terengganu FC.
Aksi suku akhir pertama Piala FA membabitkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menyaksikan The Cats meraih kemenangan 4-1.
Penyerang Cameroon, Ronald Ngah Wanja, Danial Asri dan gol sendiri Yann Mabella memastikan Kuching City ceria di Kuala Terengganu.
Meskipun memiliki bekalan selesa tiga gol, Aidil mahu Kuching City kekal fokus. Ini kerana masih ada aksi timbal balik di Kuching yang menentukan pasukan mana yang akan layak ke separuh akhir.
“Alhamdulillah, kredit kepada semua pemain. Mereka ikut perancangan permainan dengan baik, berikan komitmen penuh dan disiplin yang tinggi.
“Tetapi ini baru separuh, kami masih ada satu lagi perlawanan penting di tempat sendiri, apa yang paling penting, kami kena pastikan tidak bolos di laman sendiri. Itu fokus utama kami sekarang,” katanya seperti dilaporkan TVS.
Kuching City kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Negeri pada 25 Oktober ini.
Aksi ini dilihat peluang buat The Cats melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada tujuh perlawanan dalam semua kejohanan sejak tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Ogos lalu.