Aisar Khaled: Berbeza Negara Tapi Satu Hati
MakanBola
Aisar Khaled

Pempengaruh terkenal Malaysia, Aisar Khaled menyifatkan meskipun Malaysia dan Indonesia bersaing di atas padang, persaudaraan yang terjalin antara rakyat kedua-dua negara terus mekar.

Hal ini dinyatakan beliau semasa mengikuti aksi terakhir Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN B-23 antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).

Meskipun kedua-dua pasukan bersaing di atas padang, penyokong kedua-dua negara bukan saja menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

Malah, Aisar melihat persaudaraan serumpun antara Malaysia dan Indonesia terus terjalin sebelum dan selepas perlawanan.

“Malaysia 0-0 Indonesia, berbeza negara tapi satu hati,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Aisar turut memuat naik beberapa gambar bersama penyokong Indonesia di GBK sepanjang perlawanan berlangsung.

Aksi tersebut menyaksikan Malaysia mengikat Indonesia tanpa jaringan. Meskipun begitu, anak buah Nafuzi Zain terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Mandiri ASEAN B-23.

Ini kerana Malaysia menamatkan kempen Kumpulan A di tangga ketiga dengan empat mata. Keputusan seri sudah cukup buat anak buah Gerald Vanenburg layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan.