Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilaporkan akan menyertai pasukan Pantai Timur, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).
Khabar tersebut dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. Seandainya khabar ini benar, maka Akmal bakal kembali mewarnai Liga Super selepas sebelum ini bergelar jurulatih Penang FC.
“Difahamkan bekas Ketua Jurulatih Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal menyertai barisan kejurulatihan Kelantan TRW. Pengumuman rasmi dijangka menyusul,” katanya di X.
Penambahan ini dilihat ada kaitan dengan usaha pasukan itu untuk tampil lebih konsisten dalam Liga Super.
Kelantan TRW ketika ini menduduki tangga ketujuh liga dengan lapan mata. Selepas mengharungi tujuh aksi, pasukan itu merekodkan dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.
Ini termasuk kekalahan 4-1 di tangan Terengganu FC dalam aksi terbaru liga pada 3 Oktober lalu. Bekas pemain Sri Pahang FC, T. Saravanan menyumbat gol saguhati dalam perlawanan tersebut.
Sekiranya pelantikan Akmal disahkan, ini kali pertama beliau berkelana di luar Pulau Pinang sebagai jurulatih.
Selain menjadi jurulatih Penang, Akmal pernah memikul tugas sebagai penolong jurulatih Sang Harimau Kumbang dan jurulatih Penang B-21 (skuad Piala MFL Penang).