Aksi JDT vs Shanghai Port Jadi Tontonan Bintang Dunia
MakanBola
JST/CBF

Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Shanghai Port di pentas ACLE menarik perhatian seorang bintang dunia.

Bintang dunia yang dimaksudkan ialah bekas pemain perancang Brazil dan Chelsea, Oscar. Pemain tengah berusia 34 tahun itu bukan asing dengan aksi ini kerana pernah mengetuai Shanghai menentang JDT.

Oscar menonton aksi tersebut di kediamannya di Brazil. Beliau turut memuat naik status di Weibo yang berbunyi, “Hanya seorang peminat yang menonton pasukan pelawat beraksi.”

download Aksi JDT vs Shanghai Port Jadi Tontonan Bintang Dunia

Hasrat Oscar melihat Shanghai meraih kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Selepas berhijrah ke China pada 2017 dari Chelsea, beliau merekodkan 248 penampilan, 77 gol dan 142 bantuan gol dalam semua kejohanan untuk Shanghai.

Oscar turut membantu pasukan gergasi China itu muncul juara Chinese Super League (CSL), Chinese FA Cup dan Chinese Super Cup.

Selepas tamat kontrak bersama Shanghai pada 2024, Oscar memilih untuk pulang ke kampung halaman. Beliau memilih beraksi untuk pasukan pertamanya, Sao Paulo.

Beliau juga merekodkan 48 penampilan antarabangsa, 12 gol dan 15 bantuan gol bersama Brazil. Antara trofi yang diraih Oscar bersama Selecao ialah Piala Konfederasi pada 2013.

Bekas bintang The Blues itu juga dilaporkan menimbang kemungkinan untuk bersara. Kemungkinan itu timbul selepas Oscar didapati tidak sedarkan diri semasa menjalani latihan bersama Sao Paulo beberapa minggu lalu.

Selepas menerima rawatan di hospital, bekas pemain Internacional itu didapati mengalami masalah jantung.