Aksi Liga A1 Semi-Pro membabitkan Malaysian University FT (MUFT) dan Perak FA yang sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober dibatalkan.
Perkara ini dinyatakan pengurusan Perak FA menerusi satu kenyataan di platform rasmi kelab itu. Perak FA memaklumkan pembatalan aksi berlaku kerana garisan padang di Stadium MMU, Cyberjaya tidak siap.
“Perlawanan Liga A1 Semi Pro 2025/26 antara Malaysian University dan Perak FA yang dijadualkan berlangsung petang ini dibatalkan selepas pihak tuan rumah gagal menyediakan venue perlawanan dengan sempurna, termasuk kegagalan menyiapkan garisan padang seperti yang ditetapkan dalam peraturan pertandingan.
“Selepas pemeriksaan dibuat, Match Commissioner, General Coordinator dan pasukan pengadil sebulat suara berpendapat bahawa perlawanan tidak boleh diteruskan atas ketidakpatuhan terhadap standard teknikal padang permainan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perak FA turut memaklumkan keputusan rasmi berhubung perlawanan tersebut akan ditentukan oleh Amateur Football League (AFL) untuk tindakan selanjutnya.
Pembatalan aksi ini menyaksikan Perak FA terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan dengan empat pasukan teratas Liga A1.