Al-Ahli Cipta Rekod Bersejarah Di Asia
MakanBola
Al-Ahli FC

Juara bertahan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Al-Ahli mencipta rekod baharu di pentas Asia.

Ini kerana Al-Ahli mencipta rekod tanpa kalah paling lama dalam ACLE dengan 21 perlawanan. Ini sekaligus mengatasi rekod lama 20 perlawanan yang dipegang Ulsan HD dan Al-Hilal.

Rekod ini tercipta apabila Al-Ahli menewaskan Al-Gharafa 4-0 dalam aksi terbaru Liga Barat ACLE.

Anak buah Matthias Jaissle itu menyumbat tiga gol pada separuh masa pertama menerusi Enzo Millot dan Franck Kessie.

Pemain gantian, Saleh Abu Al-Shamat menambah satu lagi gol pada separuh masa kedua bagi memastikan tuan rumah meraih tiga mata penuh.

Keputusan ini menyaksikan Al-Ahli kini menerajui Liga Barat ACLE dengan tujuh mata. Kedudukan ini dijangka berubah sekiranya Al-Hilal dan Tractor FC meraih kemenangan dalam aksi masing-masing.

Al-Ahli berpeluang melebarkan rekod tersebut apabila bertemu kelab Qatar, Al-Sadd pada 5 November ini.